Selasa, 25 Ogos 2009


Sejarah Melaka

Sejarah Melaka bermula dengan pengasasan Kesultanan Melaka oleh Parameswara, seorang bangsawan Srivijaya dari Palembang, keturunan majapahit, pada tahun antara 1400 hingga 1403.(Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dari Siam, pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara sungai Melaka.
Setelah tiba di Bertam, baginda telah melihat anjing perburuannya ditendang oleh seekor pelanduk putih. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk putih tersebut dan membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Baginda telah bertanyakan nama pohon tempat baginda bersandar dan pengikutnya memberitahu bahawa nama pohon tersebut adalah pohon Melaka. Maka baginda telah membuat keputusan untuk menamakan negerinya sempena nama pohon tersebut.
Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Parameswara yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat perdagangan dan pengembangan agama Islam yang terulung di rantau ini
)
Parameswara adalah keturunan Raden Wijaya, raja pertama dan pengasas Kerajaan Majapahit (1293-1309)yang menikahi Sri Gayatri Rajapatni, puteri dari Sri Kertanegara, raja terakhir (1268-1292) Kerajaan Singhasari, yang kemudian memiliki Puteri Tribuana Tunggadewi, pemimpin ketiga (1326-1350) Kerajaan Majapahit. Beliau menikahi Kertawardana, dan memiliki Puteri Iswari. Si puteri kemudian menikahi Singawardana, dan memiliki Putri Sarawardani. Kemudian ia menikahi Ranamenggala, dan memiliki anak bernama Parameswara yang lahir di tahun 1344 pada saat neneknya, Ratu Tribuana Tunggadewi, memerintah Majapahit.
Kesultanan Melaka ini memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditewas oleh pihak Portugis pada tahun 1511.Melaka ditawan oleh Alfonso de Albuquerque, seorang Wizurai Portugis pada 24 Ogos 1511 dan menjadikannya suatu pangkalan strategik bagi pengembangan pihak Portugis di Hindia Timur. Sultan Mahmud Shah, Sultan terakhir Melaka, melarikan diri ke daerah pedalaman dan menyebabkan kesukaran kepada pihak Portugis dengan serangan sekejap-sekejap dari tanah daratan dan laut. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan yang melindungi Sultan Mahmud. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra di mana beliau mangkat dua tahun kemudian.
St. Francis Xavier, seorang mubaligh Jesuit, tinggal di Melaka selama beberapa bulan pada tahun 1545, 1546 dan 1549 kerana hendak menjadikan Melaka sebagai pusat operasinya di Timur.
Pada tahun 1641, pihak Belanda menakluk Melaka dengan penewasan pihak Portugis melalui bantuan Sultan Johor. Walaubagaimanapun, pihak Belanda tidak berminat menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan di antara Timur dan Barat tetapi mereka lebih mementingkan pembangunan Batavia (Jakarta) di Indonesia sebagai pusat pentadbiran mereka.Pihak Belanda menyerahkan Melaka kepada pihak British mengikut Perjanjian British-Belanda pada tahun 1824. Dari 1826 hingga 1867, Melaka diperintah oleh Syarikat Hindia-Timur British (British East India Company), dan kemudiannya menjadi sebuah tanah jajahan British. Ia menjadi sebahagian Petempatan Selat (Straits Settlement), bersama-sama dengan Singapura dan Pulau Pinang pada tahun 1946. Selepas pembubaran tanah jajahan, Melaka dan Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union yang kemudiannya menjadi Malaysia.
Melaka diisytiharkan sebagai "Bandaraya Bersejarah" pada 15 April 1989.

Sejarah Masjid Tanah

Masjid Tanah merupakan sebuah pekan kecil di dalam daerah Alor Gajah iaitu terletak di utara Bandar Melaka.
Namanya mendapat nama sempena masjid berlokasi di tengah-tengah pekan yang dibina daripada tanah di tepian sungai. Masjid Tanah suatu ketika dahulu adalah sebuah pekan hab-perdagangan yang dibawa daripada Kota Melaka ke daerah-daerah sekitar utara Negeri Melaka dan Alor Gajah dan juga sebaliknya. Masjid Tanah dihuni pelbagai lapisan masyarakat yang penduduk utamanya adalah berbangsa Melayu. Terdapat beberapa bangunan kedai yang dibina sekitar tahun 1930-an. Bagi penduduk asal, Pekan Masjid Tanah dipanggil 'simpang' merujuk kepada pekan asalnya yang mempunyai 3 simpang. Antara kampung di sekitar pekan ini adalah Kg. Lekok, Kg. Paya Rumput, Kg. Jeram, Kg. Pulau, Kg. Ayer Limau, Kg. Durian Daun, Kg. Londang, Kg. Solok Duku, Kg. Seri Tanjung, Kg. Pulau Semut dan lain-lain lagi. Terdapat beberapa sekolah rendah dan menengah yang terletak di pekan ini, antaranya ialah Sekolah Kebangsaan Bukit Beringin, Sek. Ren. Sri Laksamana, Sek. Tun Ghafar Baba dan Sek. Men. Sultan Alauddin (dulunya Sek. Men. Masjid Tanah). Pada masa ini, banyak projek perumahan dibina kerana Masjid Tanah semakin pesat membangun. Ada antara penduduknya yang bekerja di Bandaraya Melaka yang jaraknya hampir 40 km. Masjid Tanah juga adalah sebuah kawasan parlimen yang diwakili oleh wakil Barisan Nasional sejak dahulu lagi. Di Pekan Masjid Tanah aktiviti ekonomi berjalan dengan rancak dibuktikan dengan pembinaan rumah kedai yang baru. Prasarana lengkap telah sedia ada di pekan kecil ini.

Jumaat, 21 Ogos 2009

Kg.Solok Duku

Kampung Solok Duku adalah merupakan sebuah perkampungan Melayu, terletak lebih kurang 1.5 km dari pekan Masjid Tanah menghala ke Bandar Melaka. Keluasan kawasan pentadbiran lebih kurang 24 batu persegi.. Kampung ini telah wujud (dimaklumkan secara lisan ) sebelum peperangan Datuk Naning. Oleh sebab itu, keseluruhan penduduk kampung ini bertutur dalam dialek Negeri Sembilan.Nama Solok Duku dipercayai telah diambil dari beberapa batang pokok Duku yang hidup di tebing sungai. Dari kawasan inilah, bermulanya kawan perkampungan dan berkembang hingga sekarang.
Pada tahun 1927, sebuah masjid yang dibina dari bahan batu serta beratapkan genting dibina secara bergotong royong. Bentuknya sama seperti Masjid Kampung Hulu, masjid Lama Masjid Tanah dan Trangkera.
Penduduk kampung ini terdiri daripada 434 kelamin (rumah) berbangsa Melayu beragama Islam, manakala bangsa lain seperti India dan Cina lebih kurang 35 orang. Pekerjaan utama penduduk kampung ini ialah petani dan penternak. Hasil utama seperti getah dan buah buahan. Pada masa ini, kebanyakannya telah mempunyai pekerjaan tetap.